Thursday, November 22, 2007

Mutiara Kata Rasulullah s.a.w


MUTIARA KATA ,SABDA RASULULLUH S.A.W dan FIRMAN ALLAH S.W.T

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Senyumam kepada saudaramu adalah sedekah"

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Semua amal anak Adam A.S. dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah s.w.t.. dan Dia akan terus memberikan pahala kepada sekelian" (Riwayat Muslim)

Dari Ummu Mukminin Aisyah R.A, Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Adalah Rasululluh s.a.w. apabila masuk (tanggal) sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda s.a.w. bersedih dan bersiap-siap menghidupkan (beramal) pada malam hari. (Riwayat Muttfaq Alaihi)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata dusta (bohong semasa berpuasa) maka Allah s.w.t. tidak berhajat padanya untuk meninggalkan makan minumnya. (Riwayat Bukhari)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Permulaan Ramadhan itu adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan (maghrifah) dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka"


Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Bagi orang yang melaksanakan ibadah puasa, baginya ada dua saat kegembiraan.Pertama pada waktu berbuka dan kedua ketika menghadap Ilahi"

Dari Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata,Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Sembahyang itu membawa ketengah jalan, berpuasa memajukan kamu kehadapan dan sedekah (saling membantu) memasukkan kamu kedalamnya"

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Barangsiapa yang menunaikan suatu fardhu pada bulan (Ramadhan) itu, adalah dia sebagai seorang yang telah menunaikan 70 bulan fardhu pada bulan-bulan lainnya.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Siapa yang bangun pada malam hari raya (Aidil Fitri) dengan ikhlas kerana Allah s.w.t., maka tidak akan mati hatinya saat hati semua orang telah mati" (Riwayat Ibn Majah dari Abu Umamah)

Dari Abu Ayub al-Ansari berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia berpuasa pula sebanyak enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang masa" (Riwayat Muslim)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Tiga doa yang sangat mustajab iaitu doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir" (Riwayat Ahmad, Bukhari,Abu Daud &al-Tarmizi)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Apabila salah seorang kamu lupa bahawa ia berpuasa, lalu ia makan dan minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya kerana sesungguhnya ia telah diberi makan dan minum oleh Allah s.w.t." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Andaikan kamu berbuat dosa sehingga dosamu mencapai langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah s.w.t. memberi keampunan kepada maku" (Riwayat Ibn Majab)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Bukan yang bermakna puasa itu sekadar menahan makan, minum tetapi puasa yang sungguh itu menahan diri dari langha (perkataan tidak berguna) dan kata-kata yang keji" (Riwayat Muslim)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali (berturut-turut) makan Allah s.w.t. mengecap hatinya (sebagai munafik atau orang yang melengah-lengahkannya)" (Riwayat Ahmad)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Tiada seorang Muslim yang melihat wanita lalu dia memejamkan matanya, melainkan Allah s.w.t. akan memberi pada rasa lazat beribadat dihatinya" (Riwayat Ahmad & Al-Tabrani)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Jika kamu berpuasa maka bersiwaklah (gosok gigi) diwaktu pagi dan jangan diwaktu petang,maka sesungguhnya tiada orang puasa yang kering bibirnya diwaktu petang melainkan akan menjadi cahaya didepan matanya pada hari kiamat" (Riwayat Al-Tabrani)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Allah s.w.t. telah berfirman: Hamba-Ku yang lebih Aku cintai iaitu mereka yang segera berbuka (jika telah nyata maghrib)" (Riwayat Al-Tarmizi)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Riba itu mempunyai 73 cara (jalan), yang amat ringan dosanya sama dengan seorang berzina dengan ibu kandungnya" (Riwayat Al-Hakim & Al-Baihaqi)

Monday, November 19, 2007

Hadis Palsu Menyesatkan Umat


“Tidak dinafikan lagi bahawa hadis-hadis palsu yang digunakan dalam epistemologi Islam adalah termasuk dalam kategori cerita rekaan dan dongeng. Tetapi, malangnya di negara kita Malaysia, fenomena penggunaan hadis palsu dalam menghuraikan ajaran agama oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab masih berleluasa.“

Oleh Dr. Azwira Abdul Aziz

Dalam sebuah risalah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ajaran sesat didefinisikan sebagai apa jua ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan Islam yang berdasarkan al-Quran dan sunah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah. (Mustafa Ab. Rahman & rakan-rakan, Mengenal ajaran sesat di Malaysia, Jakim, 2000, hal: 1).
Risalah yang sama juga ada menyebutkan bahawa antara ciri-ciri ajaran sesat itu ialah ia tidak berdasarkan nas-nas syarak sama ada al-Quran atau pun hadis tetapi berdasarkan kepada cerita rekaan, dongeng, khayalan karut, kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam. (Ibid, hal: 10).

Tidak dinafikan lagi bahawa hadis-hadis palsu yang digunakan dalam epistemologi Islam adalah termasuk dalam kategori cerita rekaan dan dongeng. Tetapi, malangnya di negara kita Malaysia, fenomena penggunaan hadis palsu dalam menghuraikan ajaran agama oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab masih berleluasa.

Antara contoh terkini yang disebarkan ialah hadis-hadis berkenaan membaca al-Quran ketika ziarah kubur. Hadis itu bermaksud, “Barang siapa berziarah ke kuburan kedua-dua oran tua atau salah satu di antara mereka pada hari Jumaat dan membacakan surah Yasin, maka dia akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan”.

Hadis ini dijadikan dalil untuk menjustifikasikan amalan membaca al-Quran di kubur, kononnya amalan itu adalah suatu sunah yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. Walhal, ia adalah sebuah hadis palsu yang mana kepalsuannya telah ditegaskan oleh para ulama hadis seperti Ibn Adiyy dalam Al-Kamil Fi Ducafa’ Ar-Rijal (1985, 5:151), Az-Zahabi dalam Mizan Al-Ictidal Fi Naqd ar-Rijal (T.th, 4: 181), As-Suyuti dalam Al-Lali’ Al-Masnu’ah Fi Al-Ahadith Al-Maudu’ah (1401 H, 2: 440) dan At-Ta’qqubat ‘Ala Al-Maudu’at (1303 H, Hal: 23), Asy-Syaukani dalam Al-Fawaid Al-Majmu’ah Fi Al-Ahadith Al-Maudu’ah (1407 H, Hal: 850), At-Tarabulusi dalam Al-Kasyf Al-Ilahi (1408 H, 1:937) dan As-San’ani dalam An-Nawafih Al-‘Atirah Fi Al-Ahadith Al-Musytahirah (1414 H, hal: 2167).

Satu lagi hadis palsu berkaitan membaca al-Quran di kubur ialah yang bermaksud, “Barang siapa yang berziarah di kuburan, kemudian dia membaca al Fatihah, Qul Huwallahu Ahad dan al-Hakumut Takasur, lalu ia berdoa: “Ya Allah, kuhadiahkan pahala pembacaan firman-Mu pada kaum mukminin penghuni kubur ini, maka mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat) pada hari kiamat”.

Saya telah cuba setakat terdaya menyemak sumber dan status hadis ini sama ada dalam kitab-kitab yang mengumpul hadis sahih atau yang mengumpul hadis daif dan palsu, tetapi gagal menemuinya. Ketiadaan hadis berkenaan dalam kitab-kitab sumber hadis yang muktabar adalah suatu petanda yang menunjukkan kepalsuannya. Satu perkara yang perlu dijelaskan di sini ialah perbezaan antara hukum ziarah kubur sambil membaca zikir yang sabit daripada Nabi s.a.w. dengan hukum membaca al-Quran di atas kubur. Tiada sesiapa pun yang menghukum amalan ziarah kubur sambil memberi salam kepada penghuni kubur serta berdoa dan beristighfar untuk mereka sebagai amalan bidaah. Kerana amalan sedemikian memang disunahkan oleh Nabi s.a.w. melalui nas-nas yang sahih.

Berbeza dengan amalan ziarah kubur sambil membaca al-Quran di atasnya, di mana jumhur ulama memang melihatnya sebagai bidaah, kerana beberapa alasan ilmiah.

Pertama, kerana tidak ada nas sahih yang menyokong amalan membaca al-Quran di kubur.
Semua hadis berkenaan amalan tersebut tiada asal usulnya (palsu) sebagaimana yang ditegaskan oleh Al-Albani dalam Ahkam Al-Janaiz Wa Bida’iha (1969, hal: 191).
Salam

Kedua, kerana semua nas sahih berkenaan cara Nabi s.a.w. ziarah kubur tidak menyebut baginda pernah melakukan amalan membaca al-Quran di kubur. Meskipun para sahabat r.a. mengajukan pertanyaan yang khusus tentang apa yang perlu dibaca ketika ziarah kubur, namun baginda menjawabnya tidak lebih daripada sekadar memberi salam dan mendoakan keampunan untuk ahli kubur. Sekiranya al-Quran boleh dibaca di kubur nescaya baginda akan menyatakannya.

Ketiga, kerana terdapat nas-nas sahih yang menafikan adanya amalan membaca al-Quran di kubur pada zaman Nabi s.a.w. seperti sabda baginda yang bermaksud, Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang di bacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (Riwayat Muslim, Tarmizi, dan Ahmad).

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menggalakkan umatnya supaya membaca al-Quran di rumah kerana ia boleh menghalau hantu syaitan. Baginda melarang umatnya daripada membiarkan rumah mereka sunyi sepi tanpa bacaan al-Quran kerana rumah yang tiada bacaan al-Quran itu sama seperti kawasan perkuburan yang juga sunyi sepi lantaran tiada orang membaca al-Quran di situ.

Analogi Nabawi ini membuktikan bahawa masyarakat Islam di zaman Nabi s.a.w. sememangnya tidak melakukan amalan membaca al-Quran di kubur, sebab itulah baginda menggambarkan rumah yang sunyi daripada bacaan al-Quran itu sama seperti kubur.

Jika masyarakat Islam di zaman Nabi s.a.w. melakukan amalan membaca al-Quran di kubur nescaya baginda tidak akan menyamakan rumah yang tiada bacaan al-Quran itu dengan kubur.
Tiada siapapun menafikan kelebihan membaca al-Quran, tetapi sebagaimana syarak menggalakkan bacaan al-Quran pihak syarak juga menentukan tempat yang sesuai untuk membaca al-Quran.

Majoriti masyarakat Islam di Malaysia boleh dikatakan kurang kerap membaca al-Quran, justeru jika kekurangan itu disusuli pula dengan kesilapan memilih tempat, maka ia sesuatu yang sangat merugikan.

Lebih buruk lagi jika segala syaitan yang ada di kawasan perkuburan itu berpindah ke kawasan perumahan umat Islam di sebabkan kekerapan mereka membaca al-Quran di kubur daripada di rumah.

* Dr. Azwira Abdul Aziz ialah pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia.